Konflik Kepentingan

Bertindak berdasarkan Kepentingan Terbaik Syarikat

Cara Kita Berjaya

Kita membuat pilihan objektif dan bijak yang mengutamakan manfaat Syarikat dan pelanggan kita daripada manfaat peribadi.

Sebabnya Kita Mengutamakan Nilai

Kita bekerja bersama-sama untuk berjaya demi pelanggan kita. Kita tidak membiarkan kepentingan atau hubungan peribadi mengganggu kejayaan sebagai Satu Pasukan. Kita membuat keputusan secara terbuka, bertimbang rasa dan dengan integriti; tindakan ini memberikan manfaat untuk perniagaan kita dan menunjukkan kepada semua orang bahawa kita boleh dipercayai untuk melakukan perkara yang betul.

Ciri-ciri Kejayaan

Kita bertindak berdasarkan kepentingan Syarikat yang terbaik dengan:

  • Membuat keputusan perniagaan yang tidak berat sebelah berdasarkan fakta dan pertimbangan yang wajar
  • Mengelakkan keadaan yang mana keputusan boleh dipengaruhi—atau kelihatan dipengaruhi—oleh konflik kepentingan (seperti kemungkinan manfaat peribadi)
  • Mendedahkan konflik kepentingan yang tidak dapat dielakkan supaya dapat diurus dengan sewajarnya
  • Mendapatkan nasihat bila-bila masa kita tidak pasti sama ada terdapat masalah

Apakah Konflik Kepentingan?

Konflik kepentingan berlaku apabila hubungan sosial atau keluarga, aktiviti di luar kerja, pelaburan kewangan atau kepentingan peribadi yang lain mendatangkan risiko mengganggu kemampuan kita untuk membuat keputusan yang tidak berat sebelah bagi pihak Syarikat. Kita mesti berhati-hati untuk mengelakkan walaupun penampilan konflik kepentingan kerana ia boleh menyebabkan orang lain berpendapat kita bertindak dengan cara yang tidak wajar.

Tanya Diri Sendiri:

Adakah keputusan atau tindakan yang saya cadangkan:

  1. Menyebabkan saya rasa berkewajipan terhadap orang lain?
  2. Selaras dengan nilai-nilai Johnson Controls?
  3. Dipengaruhi (walaupun sedikit) oleh pertimbangan peribadi atau keluarga?
  4. Memberikan penampilan bahawa saya tidak mengutamakan kepentingan terbaik Syarikat?

Jika jawapan kepada mana-mana soalan ini adalah “ya” atau “mungkin”, penting untuk anda mendapatkan nasihat menggunakan sumber yang disenaraikan DI SINI. Jika anda rasa anda mungkin mempunyai konflik kepentingan, anda perlu mendedahkannya di ComplianceForms.jci.com.

Konflik kepentingan boleh mengambil banyak bentuk. Panduan berikut merangkumi beberapa keadaan yang lebih biasa berlaku. Lihat juga Dasar Konflik Kepentingan kita.

Saudara-mara dan Rakan

Kita tidak membenarkan keinginan untuk membantu rakan dan keluarga mempengaruhi keputusan kita di tempat kerja.

Kita mengelakkan risiko hubungan peribadi menjejaskan objektif kita dengan:

  • Memastikan rakan dan saudara-mara tidak berada dalam barisan pelaporan dan tidak berada dalam jabatan yang sama, sama ada pekerja, pelatih atau kontraktor
  • Membenarkan orang lain mengendalikan keputusan berkaitan pekerjaan (seperti pengambilan pekerja, kenaikan pangkat dan tindakan disiplin) yang melibatkan rakan rapat dan saudara-mara
  • Mengambil langkah-langkah untuk memastikan ketelusan dan kebebasan apabila mempertimbangkan rakan rapat atau saudara-mara sebagai pembekal perkhidmatan Johnson Controls yang berpotensi
  • Berhati-hati semasa mempertimbangkan keputusan untuk menggunakan bekas pekerja Johnson Controls sebagai perunding, kontraktor atau pembekal

Pelaburan Peribadi dan Keluarga

Keputusan kita tidak dipengaruhi oleh prospek keuntungan kewangan untuk sendiri atau ahli keluarga kita. 

Kita memastikan pertimbangan kewangan peribadi tidak mempengaruhi keputusan perniagaan dengan:

  • Tidak memiliki kepentingan kewangan yang penting* dalam perniagaan yang berkaitan atau bersaing dengan Johnson Controls
  • Mendedahkan kepada Jabatan Pematuhan apabila ahli keluarga yang rapat bekerja atau memiliki kepentingan kewangan yang penting** dalam perniagaan yang berkaitan atau bersaing dengan Johnson Controls

* Untuk panduan tentang sama ada kepentingan kewangan adalah penting, sila rujuk Jabatan Pematuhan.

Hadiah dan Layanan Baik

Kita berjaya dalam perniagaan dan membina perhubungan berdasarkan kepercayaan dan nilai bersama – tidak pernah melalui hadiah atau layanan baik yang tidak wajar.

Kita mengelakkan kemungkinan konflik yang melibatkan pemberian hadiah atau layanan baik dengan:

  • Memberikan jamuan makan dan keraian yang berpatutan hanya sebagai sebahagian daripada perbincangan perniagaan dan hanya jika tindakan itu tidak melanggar dasar organisasi penerima
  • Tidak memberikan atau menerima hadiah atau keraian dengan niat untuk mempengaruhi kelakuan penerima
  • Memberikan hadiah yang nilainya hanya nominal kepada mereka yang berurus niaga atau cuba berurus niaga dengan kita
  • Tidak pernah memberikan hadiah wang tunai atau setara dengan wang tunai
  • Memberikan hadiah atau keraian kepada pegawai kerajaan hanya jika dibenarkan dan diluluskan terlebih dahulu oleh Penasihat Pematuhan
  • Membayar perbelanjaan perjalanan dan penginapan yang berpatutan untuk pihak ketiga yang selaras dengan dasar dan hanya apabila diluluskan terlebih dahulu
  • Memastikan semua hadiah, keraian dan perjalanan yang diberikan adalah sah, beretika dan tidak bertentangan dengan nilai-nilai kita

Kita mengelakkan kemungkinan konflik yang melibatkan penerimaan hadiah atau layanan baik dengan:

  • Menerima hadiah yang nilainya nominal sahaja
  • Tidak menerima hadiah dalam bentuk wang tunai atau yang bersamaan dengan wang tunai
  • Tidak menerima perjalanan daripada pihak ketiga
  • Mengehadkan penerimaan kita terhadap keraian kepada acara sukan, teater atau budaya (iaitu acara sukan, bermain golf atau konsert) atau jamuan makan
  • Dengan sopan menolak sebarang perjalanan, hadiah atau keraian yang melanggar Dasar Hadiah & Keraian kita

Berfikir Terlebih Dahulu

S:

Pasukan kita sedang membida satu kontrak yang besar dan kita menjangkakan untuk mengetahui keputusannya tidak lama lagi. Saya menghadiri sebuah seminar dan seorang pembuat keputusan yang penting daripada bakal pelanggan akan turut berada di sana. Bolehkah saya menjemput beliau untuk makan malam bagi membuat persembahan jualan yang terakhir untuk Johnson Controls?

J:

Tindakan ini tidak disyorkan kerana boleh dianggap sebagai percubaan untuk mempengaruhi pelanggan dengan cara yang tidak wajar. Mengutamakan Integriti bermakna memberi pelanggan sebab untuk memilih kita kerana kualiti produk dan khidmat pelanggan, bukan kerana kita telah memberi mereka hadiah berharga atau layanan yang sangat baik. Oleh sebab masanya terlalu hampir dengan keputusan perolehan pelanggan, tindakan ini dengan mudah boleh ditafsirkan sebagai percubaan untuk mempengaruhi keputusan perniagaan dengan cara yang tidak wajar—yang sangat dilarang. Hal ini terutamanya penting untuk diawasi semasa proses pembidaan. Selagi orang hubungan anda bukan pegawai kerajaan, tindakan menjemputnya untuk berjumpa sambil minum kopi atau teh adalah wajar sebagai cara untuk membina perhubungan dan menjawab sebarang soalan yang mungkin mahu dikemukakan oleh bakal pelanggan tentang Johnson Controls.

Peluang Korporat

Kita menggunakan pengetahuan yang diperoleh daripada kerja kita serta sumber dan aset Syarikat, supaya kita dapat membantu kejayaan pelanggan dengan lebih baik. Kita mengelakkan konflik kepentingan atau kerosakan kepada perniagaan dengan tidak:
  • Mengambil peluang perniagaan atau pelaburan untuk diri sendiri yang diketahui semasa kita bekerja
  • Menggunakan harta, maklumat Syarikat atau jawatan kita di Johnson Controls untuk keuntungan peribadi yang tidak wajar
  • Bersaing dengan Johnson Controls, secara langsung atau tidak langsung

Aktiviti Luar

Kita berusaha bersungguh-sungguh pada setiap hari di Johnson Controls, tidak membiarkan kerja luar atau aktiviti lain menghalang sumbangan kita kepada perniagaan Syarikat. Kita berusaha untuk menjalani kehidupan yang sepenuhnya dan produktif di luar kerja di samping tidak:
  • Mengganggu tanggungjawab atau prestasi kita di Johnson Controls
  • Bekerja untuk pesaing atau pembekal
  • Menyebabkan risiko kerosakan terhadap perniagaan atau reputasi Syarikat
  • Menggunakan sumber Syarikat, termasuk pekerja atau vendor lain, untuk kepentingan di luar
  • Menyebabkan sebarang bentuk konflik kepentingan yang lain

Berfikir Terlebih Dahulu

Q: Pengalaman pengubahsuaian rumah saya baru-baru ini menyebabkan saya terfikir untuk membeli hartanah “yang memerlukan pengubahsuaian” dan cuba menjualnya pada harga yang menguntungkan – dan mungkin juga mendapatkan lesen harta tanah. Saya komited dengan Johnson Controls dan tidak terfikir yang minat saya terhadap pengubahsuaian rumah akan mengganggu kerja saya. Adakah perkara ini suatu isu?

A: Kita mahu warga kerja kita menjalani kehidupan sepenuhnya dan bermanfaat di luar kerja. Pada masa yang sama, kita semua diharapkan agar memberikan perhatian penuh dan usaha terbaik kita pada setiap hari di Johnson Controls. Anda perlu menentukan sama ada mengambil usaha tambahan yang besar dalam mengubah suai dan menjual rumah akan membolehkan anda mengekalkan keseimbangan yang sewajarnya antara tanggungjawab peribadi dan kerja. Jika anda rasa hal ini mungkin menyebabkan konflik kepentingan, anda perlu mendedahkannya di ComplianceForms.jci.com.