Layanan penuh hormat, mencegah gangguan dan pembulian di tempat kerja

Menggalakkan dan Mengekalkan Tempat Kerja yang Penuh Hormat

Cara Kita Berjaya

Kita melayan orang lain dengan hormat, menggalakkan persekitaran kerja positif yang kita berusaha sebagai Satu Pasukan.

Sebabnya Kita Mengutamakan Nilai

Kita bekerjasama sebagai Satu Pasukan, berinteraksi dengan cara yang menggalakkan semangat saling mempercayai dan menghormati. Hal ini bermakna kita bertindak secara profesional, bercakap secara terbuka dan dengan cara menghormati orang lain, serta menyokong satu sama lain di mana-mana sahaja kita boleh melakukannya. Dengan cara ini, kita semua membantu usaha membentuk dan mengukuhkan budaya kecemerlangan dan integriti kita. Tempat kerja yang memberikan semangat dan menyokong usaha terbaik semua orang ialah tempat kerja yang berjaya.

Ciri-ciri Kejayaan

Kita mengekalkan tempat kerja yang penuh hormat dengan:

  • Membina kepercayaan dengan rakan sekerja dan rakan niaga
  • Mendengar untuk memahami
  • Mencari peluang untuk bekerjasama dan berkongsi demi kebaikan pasukan
  • Berfikir terlebih dahulu tentang cara kata-kata dan tindakan kita mungkin diterima oleh orang lain
  • Menentang pembulian dan gangguan dalam apa-apa jua bentuk dan mendapatkan bantuan jika perlu
  • Melaporkan jenaka yang tidak sesuai, penghinaan atau komen menyinggung yang lain tentang bangsa, jantina, warna kulit, agama, umur, negara asal, ketidakupayaan, orientasi seksual atau ciri lain yang dilindungi oleh undang-undang
  • Jangan membuat—atau bertoleransi—terhadap kata-kata atau gerak laku seksual yang tidak diingini, atau menunjukkan bahan yang boleh menyinggung orang lain
  • Melaporkan apa-apa kelakuan yang tidak wajar, sama ada ditujukan kepada anda atau orang lain

Berfikir Terlebih Dahulu

S:

Penyelia baru saya sangat ingin tahu dan peramah. Dia telah mengajukan pertanyaan kepada saya tentang kehidupan peribadi saya, membuatkan saya tidak selesa. Dia mungkin menganggap bahawa dia bersikap mesra, tetapi topik perbualan dia menjadikan saya rasa janggal. Saya telah memintanya berhenti, tetapi dia berkata saya terlalu mudah melenting dan bertanya dengan kuat sama ada saya sesuai untuk pasukan itu. Saya tidak mahu hubungan saya dengan penyelia saya tidak bermula dengan baik, tetapi dia membuatkan saya rasa gementar. Apakah yang boleh saya lakukan?

J:

Tingkah laku penyelia ini adalah tidak dialu-alukan dan tidak boleh diterima, serta tidak diterima di Johnson Controls. Jika anda rasa selesa untuk melakukannya, beritahu penyelia anda tentang perasaan anda terhadap kelakuannya dan minta dia menghentikannya terus. Jika anda memilih untuk tidak berhadapan dengan penyelia anda sekali lagi, anda boleh berbincang dengan pengurus yang lebih kanan atau wakil Sumber Manusia anda, atau hubungi Talian Bantuan Integriti. Mana-mana pilihan ini akan membolehkan kami membantu anda menyelesaikan isu ini. Anda akan dilindungi daripada sebarang tindakan balas.